Monday, March 1, 2010

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 20 Februari 2010


Usahawan coklat Perlis


KANGAR 19 Feb. - Jika Langkawi terkenal sebagai syurga penggemar coklat, Perlis pula mampu menghasilkan coklat buatan tempatan yang mempunyai kualiti rasa setanding coklat import.Kejayaan itu adalah antara hasil usaha gigih dua usahawan muda, Wan Shaharuni Wan Ali, 33, dan Nor Hanani Mokhter, 31, dari Kuala Perlis di sini.

Mereka kini mengorak langkah menjadikan Perlis sebagai pengeluar coklat sekali gus menjadikannya sebagai satu tarikan utama pelancong ke negeri ini yang terkenal dengan pengeluaran mempelam harumanis.

Coklat produk Perlis yang menggunakan jenama Chocolike itu, bukan sahaja mendapat permintaan memberangsangkan di negeri ini, malah telah memasuki pasaran Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Chocolike dihasilkan menggunakan seratus peratus koko asli gred A iaitu mentega koko untuk coklat jenis 'pralin', 'truffle', 'crunchy' manakala bagi coklat jenis 'lolychoc' dan 'choc bar' dihasilkan dengan ramuan koko gred B atau koko kompaun yang dicampur dengan lemak sayur-sayuran.

Menurut Wan Shaharuni, selain coklat susu, Chocolike mempunyai pelbagai jenis perisa seperti kacang almond, mentega kacang, kacang hazel, strawberi, buah campuran dengan pelbagai bentuk selain coklat jenis 'panning' iaitu coklat bulat.

"Kami kini sedang mengkaji untuk menghasilkan coklat berperisa mangga terutama mangga keluaran Perlis yang dijangka menjadi salah satu tarikan pelancong," katanya.

Kata Wan Shaharuni, melalui syarikat yang ditubuhkan iaitu Citra Jentayu Enterprise, Chocolike dipasarkan melalui ejen yang dilantik di seluruh negara selain individu yang menempah secara dalam talian melalui laman web www.chocolike.com.my.

Menurutnya, jika dahulu coklatnya dihasilkan melalui pengeluaran secara kecil-kecilan di rumah, kini coklatnya telah pun mempunyai bengkel yang dilengkapi pelbagai mesin pemprosesan coklat di Pusat Perantis Bukit Temiang, Beseri.

"Bengkel berkenaan yang akan beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini, diberi secara percuma oleh Jabatan Pertanian selama tiga tahun bagi membolehkan kami meningkatkan pengeluaran selain dapat membantu menaikkan kualiti pemasaran," katanya.

Melalui pusat tersebut juga, coklat keluaran syarikat itu akan mendapat pemantauan yang rapi daripada pihak bertanggungjawab terutama dari segi pengiktirafan halal, kod bar dan pembungkusan.

Nor Hanani pula memberitahu, Chocolike dihasilkan menggunakan biji koko tempatan yang diperoleh daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM).

"Pada masa ini kami menggunakan kira-kira 150 kilogram bongkah coklat sebulan iaitu pada hari biasa dan mencecah 250 kilogram sebulan apabila tiba musim perayaan, namun apabila bermulanya operasi di Pusat Perantis itu kami jangka bakal menggunakan 1,500 kilogram coklat sebulan," katanya.

Baru-baru ini, kedua-dua usahawan muda itu turut mendapat bantuan mesin pencair coklat bernilai RM20,000 daripada Jabatan Pertanian bagi membantu meningkatkan pengeluaran coklat syarikat mereka.

Kata Nor Hanani, penglibatan mereka dalam industri berkenaan setelah mengkaji kecenderungan penggemar coklat di negara ini, terutama umat Islam yang kini mempunyai kesedaran tinggi tentang produk coklat yang halal.

Menurutnya, mereka juga telah mengkaji pasaran coklat di Malaysia yang kini mempunyai penggemar yang luas selain kecenderungan popular masa kini yang menjadikan coklat sebagai hidangan pada musim perayaan, majlis-majlis pertunangan dan perkahwinan serta hadiah untuk individu tersayang.

Menolak ke tepi mitos yang mengatakan memakan coklat menyebabkan seseorang itu gemuk, kedua-dua lepasan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu sanggup meletak jawatan sebagai eksekutif di sebuah syarikat automobil terkenal di negara ini semata-mata mengejar cita-cita menjadi usahawan coklat Perlis.

Mengimbas kembali detik awal menceburi industri coklat, Nor Hanani berkata, semuanya bermula pada penghujung 2008 selepas dia dan Wan Shaharuni mengikuti Kursus Asas Pembuatan Coklat anjuran LKM selama empat hari di Bangi, Selangor.

"Selepas mengikuti kursus itu, kami mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan coklat melalui bantuan LKM yang menyediakan bahan mentah iaitu koko selain pemantauan agensi itu terhadap kualiti rasa coklat yang dihasilkan dan pada masa yang sama kami turut mengedarkan sampel-sampel coklat tersebut kepada orang ramai," katanya.

Selepas berpuas hati dengan maklum balas orang ramai yang rata-rata memuji kualiti rasa Chocolike yang setanding coklat import, kedua-dua wanita itu memulakan industri coklat bermula dari rumah dengan modal sendiri.

"Usaha kami turut mendapat perhatian Jabatan Belia dan Sukan yang memberi sumbangan RM3,000 untuk membeli peralatan acuan coklat tahun lalu, melalui Dana Usahawan Muda," katanya.

Selain itu, mereka juga menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menjalankan ujian makmal bagi mendapatkan fakta nutrisi dan pelekat.

Dalam pada itu, kedua-dua usahawan tersebut turut memberi jaminan akan sentiasa memastikan kualiti rasa coklat tidak berubah malah akan meningkatkan mutunya dengan pembuatan yang teliti menggunakan bahan mentah berkualiti.

Kini, setelah hampir dua tahun menceburi industri tersebut, Wan Shaharuni dan Nor Hanani yang berpuas hati dengan pulangan yang diperoleh, turut mengharapkan kerjasama daripada kerajaan negeri melalui agensi-agensinya untuk membantu mempromosikan produk keluaran syarikatnya.

"Kami berharap coklat keluaran kami dapat dijadikan sebagai salah satu jenama Perlis selain mempelam harumanis," kata mereka.




Tuesday, February 16, 2010

Masuk Berita...

Gementar ada, gembira pun ada.. pihak RTM Perlis datang buat liputan tentang projek perniagaan yang kami jalankan sekarang. Pengalaman baru yang belum pernah kami lalui sebelum ini. Kami disuruh membuat demostrasi cara-cara membuat coklat buatan tangan. Serba tak kena dibuatnya. Siap demo, kena interview pulak.. ini masalahnyer... makcik ni fobia dengan microphone.. nampak ja mic.. terus hilang perkataan.. sib baik diaorang edit semula video tu.. hehe.. esoknya, pemberita yang datang jumpa kami call, bagitau cerita tentang kami akan dikeudarakan dalam berita 1 tengahari .. wah..best giler...